Halaman

Isnin, 5 Ogos 2013

Prakata

Jiwa perwira mendorong rasa sedar dan gagah berani untuk mempertahankan hak diri, bangsa, negara dan agama. Setiap orang yang berjiwa perwira rela berjuang dan bekerja keras untuk memperolehi hak-hak tersebut. Jiwa perwira di dalam diri seseorang tidak semestinya muncul apabila menyertai pasukan keselamatan. Menyertai kumpulan-kumpulan politik, sosial, agama, niaga, budaya, saintifik, pendidikan dan apa sahaja yang berkait dengan ruang lingkup kehidupan manusia boleh menyuburkan jiwa perwira dan perjuangan individu.

Dengan hidup sebagai seorang pejuang di dalam lapangan kehidupan tertentu, seseorang akan berusaha mencapai segala apa yang dicita-citakan dengan cara membuat persiapan dan mendisiplinkan diri sendiri supaya hasil yang bakal diperolehi nanti akan memuaskan hati, menggembirakan rasa dan membijaksanakan akal.

Antologi cerpen "Baka" menerangkan bahawa perjuangan untuk mencapai keadaan hidup yang lebih baik akan sentiasa menghadap dan menerima cabaran dalam berbagai bentuk daripada segala sudut kehidupan. Tema cerpen-cerpen adalah berbagai - sejarah, sains, fantasi, dunia alam nyata - semuanya berbaur, yang bertujuan untuk mencelikkan mata hati dan mencerdikkan mata minda.

Salah satu sifat karya sastera ialah membicarakan hal ehwal manusia yang sentiasa mewujudkan konflik di antara dua nilai: nilai baik dan nilai jahat. Jiwa pejuang yang berusaha mencapai tahap yang lebih baik ialah suatu contoh yang baik. Perjuangan itu pula akan dihambat oleh nilai bertentangan (nilai jahat) yang datang dalam berbagai rupa. Natijah setiap perjuangan akan dijadikan pengajaran oleh orang-orang yang tahu berfikir.

Terima kasih kepada semua penerbit yang pernah menerbitkan cerpen-cerpen daripada antologi ini di dalam medium penerbitan mereka dan penganjur laman-laman web tertentu yang memudahkan penerbitan beberapa buah cerpen di dalam laman web yang mereka usahakan.

Hidup mulia. Mati mulia.