“Betul juga kata Watson,” kata Hamid dalam hati apabila mengingati
kata-kata Prof Dr James Watson kira-kira 20 tahun lalu sewaktu saintis itu
menyampaikan syarahan umum di Pulau Pinang.
Prof Watson telah diundang oleh Badan Amanah
Fellowship Tan Sri Augustine Goh untuk menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘DNA
dan Hayat’ kepada rakyat Malaysia yang berminat.
Itulah penampilan pertama beliau di Malaysia
sejak memenangi Anugerah Nobel dalam bidang Biologi Molekul dan Perubatan pada
tahun 1962 di atas usahanya bersama dua lagi rakan sekerja, Dr Francis Crick
dan Dr Maurice Wilkins, yang telah berjaya menemui struktur asid
deoksiribonukleik (DNA) pada tahun 1953.
Penemuan itu juga telah turut menjelaskan
bagaimana DNA berfungsi sebagai sebuah gedung yang menyimpan semua maklumat
pewarisan dan mengakibatkan sebuah revolusi besar dalam sains hayat yang terus
berkembang dengan pesat.
Ketika mengunjungi Malaysia, Prof Watson
sedang bertugas sebagai Pengarah Bersekutu Institut Kesihatan Kebangsaan
Amerika Syarikat dan sedang mengetuai satu penyelidikan untuk memetakan
kira-kira 50,000 hingga 100,000 gen manusia yang diketahui serta mendapatkan
jujukan keseluruhan kira-kira 3 bilion pasangan nukleotida di dalam genom yang unik
untuk spesies Homo sapiens.
Penyelidikan tentang genom manusia pada
ketika itu merupakan sebuah penyelidikan genetik teragung dalam abad ke 20 yang
dijangka akan memberi faedah yang amat besar kepada zuriat manusia masa
hadapan. Tempias daripada usaha itu sedang dinikmati oleh Hamid yang sedang
bertugas sebagai Penyelidik Kanan Unit Genetik di Jabatan Forensik PDRM.
Di dalam syarahan umum itu, salah satu isi
utama yang telah difahami oleh Hamid ialah berkaitan baik buruk seseorang
manusia yang tidak ditentukan oleh maklumat genetik yang terkandung di dalam
genomnya.
Hamid faham bahawa baka yang baik, jika
dididik dalam persekitaran yang baik, akan menghasilkan individu yang baik.
Jika baka yang baik itu dididik dalam persekitaran yang tidak baik pula, akan
menghasilkan individu yang tidak baik.
Begitu juga sebaliknya. Baka yang tidak
baik, jika dididik dalam persekitaran yang baik, lama-lama akan menjadi baik
akibat tekanan persekitaran. Jika baka yang tidak baik itu dididik dalam persekitaran
yang tidak baik, memanglah akan menjadi individu yang tidak akan baik.
Persoalan tentang manusia baik dan manusia
jahat memang sukar untuk dihuraikan melalui perspektif sains. Akan tetapi,
persoalan tentang manusia sihat dan manusia cacat mungkin boleh dibincangkan
melalui perspektif tersebut, khususnya melalui ilmu sains genetik.
Sebab itulah perajurit-perajurit terbaik
dari seluruh dunia dipilih daripada kalangan manusia yang memiliki keadaan
biologi yang sihat dan sempurna. Kemudian mereka dilatih dengan ilmu peperangan
sehingga mampu mengendalikan sesuatu operasi ketenteraan yang boleh mencapai
kejayaan gemilang.
Hamid memberhentikan keretanya di
persimpangan lampu isyarat apabila warna merah menyala. Pada waktu pagi, jalan
raya memang sentiasa sibuk dengan kenderaan yang bertali arus.
Kalau keadaan biologi perajurit-perajurit
itu tidak sempurna akibat kecacatan genetik, katalah kecacatan itu dipamerkan
sebagai penyakit buta warna yang tidak boleh membezakan warna hijau dan merah,
sudah tentu mereka tidak layak dipilih untuk menjadi perajurit.
Malah mereka akan membahayakan operasi
tentera yang akan menentukan masa hadapan negara mereka.
Individu yang ada penyakit buta warna,
sampai mati pun memang tidak akan dapat membezakan warna hijau dan merah.
Jadi, dalam kes buta warna, baka yang tidak
baik, sungguh pun dipaksa untuk menjadi baik, tetap tidak akan menjadi baik.
Di dalam kuliah genetik semasa menuntut di
universiti dahulu, Hamid teringat bahawa bagi orang yang buta warna, gennya
cacat dan tidak mampu menghasilkan protein fotopsin yang boleh bergabung dengan
pigmen retinal untuk membentuk sebatian rodopsin yang sensitif kepada warna
hijau dan merah. Sebatian rodopsin di dalam mata manusia terbenam di dalam lipatan
cakera di hujung sel kon retina.
Bagi manusia yang sihat, gennya mampu
menghasilkan fotopsin, Oleh itu, dia mampu menikmati warna hijau dan merah. Di
dalam nukleus sel manusia, gen yang menentukan buta warna terletak di dalam
kromosom X.
Lampu isyarat merah bertukar hijau. Hamid
membelokkan keretanya ke kiri.
Timbul rasa belas di hati Hamid apabila
mengenangkan nasib orang-orang yang dilahirkan buta warna.
Apakah dunia ini tidak adil?
Atau apakah
Tuhan dengan sengaja ingin menunjukkan kekuasaanNya melalui berbagai variasi
genetik yang menghasilkan bermacam rupa, sifat dan ciri manusia?
Hamid sedang
tenggelam di dalam dunia realiti maya.
Kedua-dua tangannya bergerak tidak tentu
arah, seolah-olah sedang membuat sesuatu pekerjaan.
Di dalam imej retinanya, Hamid mendapati
bahawa dia sedang mengendalikan sebuah eksperimen simulasi.
Dia sedang membancuh campuran tindak balas
rantaian polimerase (di dalam Bahasa Inggeris disebut ‘polymerase chain
reaction’ dan lebih popular dengan singkatannya – PCR) untuk menggandakan
bilangan jujukan sasaran DNA yang dipencilkan daripada satu sampel darah
khayalan.
Tiub appendorf mengandungi campuran PCR itu
dimasukkan ke dalam sebuah mesin termal khayalan. Setelah menetapkan masa dan
suhu tindak balas, Hamid membiarkan PCR berlaku secara in silicio.
Hamid meningkatkan kadar tindak balas.
Beberapa saat kemudian, dia mengeluarkan tiub PCR dan membuat larian hasil PCR
di atas gel agarosa melalui proses elektroforesis khayalan.
Dengan serta-merta, jalur-jalur mengandungi
fragmen-fragmen DNA sasaran tertera di atas gel. Kemudian Hamid membuat
pengiraan untuk menentukan kebarangkalian mendapatkan hasil eksperimen
simulasi. Nilai itu terpapar di dada skrin.
Dia bertanya kepada program perisian itu
tentang sebab-sebab dia memperolehi nilai tersebut. Setelah membaca
alasan-alasan yang diberikan oleh program itu, Hamid menamatkan sessi
eksperimen in silicio.
Dia membuka visor helmet realiti maya.
Alam nyata menguasai semula seluruh ruang
imej retinanya. Suasana bilik pejabatnya masih seperti pagi tadi. Hamid
bercadang hendak meneruskan eksperimennya secara in vitro pula selepas itu.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk
bertalu-talu.
“Masuk!” Jeritnya sambil menanggalkan
program realiti maya dari kepala dan meletakkan helmet tersebut di atas meja.
Pintu terbuka dan Razak masuk ke dalam.
Setelah menutup pintu, dia menghempaskan sebuah fail di atas meja Hamid. Hamid
berasa hairan melihat perlakuan Razak.
“Duduklah, Jak,” pelawa Hamid.
Setelah duduk, Razak terus bersuara.
“Kau pasti yang sampel DNA daripada rambut
yang orang aku ambil di tempat kejadian itu tidak sama dengan sampel DNA
daripada darah orang yang aku syak?”
“Pasti. Aku sudah hantar salinan laporan
bersama filem radioautograf kepada Jabatan Genetik Kementerian Sains untuk
mengesahkan hasil kerjaku. Mereka kata 100 % tepat.”
“Jadi, tiada bukti yang boleh mensabitkan
lelaki itu dalam kes aku?”
“Sudah tentu. Kalau tiada bukti, bagaimana
nak sabitkan kesalahannya?”
Razak menghela nafas panjang. Dia membuka
fail yang dibawa dan membelek laporan-laporan yang mengandungi hasil
siasatannya dalam kes pembunuhan seorang tokoh korporat ternama.
“Bermakna bukan lelaki itu yang berada di bilik
penginapan hotel tempat mayat Tan Sri Wan Hasmi ditemui.”
“Aku nak ingatkan kau. Rambut yang Sarjan
Chew jumpa di atas katil itu memang bukan rambut allahyarham. Memang ada orang
lain yang menyelinap masuk ke dalam biliknya.”
“Ya. Itu aku tahu. Laporan pemeriksaan
patologi forensik oleh Dr Maran mengesahkan yang Tan Sri Wan Hasmi mati kerana
lemas. Pembunuh itu menggunakan bantal dan menyerkup muka mangsa sehingga mati.
Kalaulah aku dapat pembunuh itu.”
“Bagaimana dengan kesan cap jari?”
“Tiada sebarang kesan cap jari di bilik
mangsa yang boleh dicurigai selain daripada kesan cap jari mangsa dan
isterinya. Isterinya yang menjadi saksi utama memang terbukti tidak berada di
bilik mereka sewaktu kejadian itu berlaku kerana sedang menunggu suaminya di
lobi hotel.”
“Mungkin pekerja hotel …,”
“Mereka telah pun dibuktikan bersih,
termasuk lelaki terakhir yang aku syak yang baru saja kau selamatkan.”
“Pembunuhan allahyarham memang dilakukan
dengan sengaja dan telah pun dirancangkan dari awal. Tiada jejak nyata yang
ditinggalkan oleh pembunuh.”
“Sudah tentu. Itulah yang menyulitkan
penyiasatan aku pada kali ini.”
“Jak, pembunuh itu mungkin seorang yang
cekap kerana tidak meninggalkan sebarang jejak yang nyata. Malangnya, dia ada
kelemahan. Dia tidak sedar bahawa beberapa helai rambutnya gugur semasa
bergelut dengan si mati kerana mungkin dia tidak memakai penutup kepala. Hanya
itu yang akan menjadi pedoman kita.”
Razak merenung mata Hamid. Dia memicingkan
matanya.
“Apa yang kau nak beritahu aku, Mid?”
“Dalam kes ini saja, aku telah menjalankan
proses pengecapjarian DNA untuk lebih daripada dua dozen sampel yang diambil
daripada dua puluh tujuh orang yang disyaki. Itu tidak cukup.”
“Jadi?”
“Berikan aku lebih banyak sampel. Lima puluh sampel,
seratus, seribu atau sepuluh ribu sekalipun. Aku juga tidak berpuas hati di
atas kematian Tan Sri Wan Hasmi. Kenapa orang yang baik macam dia, yang
berfikiran jauh, yang berwawasan tinggi, yang berjuang untuk membela nasib anak
bangsa melalui jalan perniagaan, dan seorang tokoh korporat terhormat dalam
bidangnya, harus mati dalam keadaan begitu? Kenapa orang korporat yang berniaga
dengan air liur, yang menghisap tenaga dan keringat anak bangsa sendiri, yang
hidup penuh kepura-puraan, tidak mati? Allahyarham terlalu baik, Jak. Dia
pemurah, lurus dan tidak sombong. Malangnya, ada orang yang tidak suka dia
hidup. Kita mesti cari pembunuhnya sampai dapat!”
Tiba-tiba Razak tersenyum ceria.
“Kenapa aku tidak terfikir kata-kata itu? Ada orang yang tidak suka
Tan Sri Wan Hasmi hidup. Ada
orang yang tidak mahu kalah dengan si mati. Allahyarham memang ada ramai
pesaing yang hebat.”
Razak bangkit dari kerusi dan mengepit fail
penyiasatannya di sisi.
“Hamid, aku akan membawa lebih banyak sampel
DNA untuk kau. Kita mesti cari orang yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan
Tan Sri Wan Hasmi.”
Kemudian Razak meninggalkan bilik Hamid.
Hamid terpaku di kerusinya. Begitulah
rutinnya setiap hari. Bersama rakan-rakan sepasukan, mereka berganding bahu dan
berusaha menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat setiap hari.
Hamid mengeluh. Bilakah manusia akan
berhenti melakukan kejahatan dan kerosakan di muka bumi?
Kemudian dia bangun. Dia memakai jubah
makmal dan berjalan masuk ke dalam Makmal DNA yang terletak di sebelah
pejabatnya. Dia bercadang hendak menggunakan kaedah yang telah diperbaiki
melalui eksperimen simulasi sebentar tadi terhadap sampel DNA yang telah
diterima semalam.
Ada kes rogol dan bunuh yang mesti
diselesaikan.
Hamid menghampiri meja kerjanya. Dia membuat
sedikit catatan di dalam buku log makmal. Kemudian dia mencapai segala radas
dan bahan yang diperlukan untuk eksperimen in
vitro.
Hamid yakin bahawa kalau semua orang dalam
dunia ini hidup dalam persekitaran yang baik, nescaya dunia akan dipenuhi
dengan orang-orang baik.
Masalahnya, masyarakat kurang sedar tentang
perlunya mereka rasa bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang baik.
Mereka membiarkan pintu yang menjadi punca kepada segala masalah sosial dibuka
luas-luas.
Unsur-unsur yang membawa kerosakan masuk
dengan tidak tertahan-tahan di celah-celah saraf kehidupan yang membentuk
kehidupan bertamadun dan beradab. Akhirnya tamadun runtuh dan peradaban lumpuh.
Siapa yang hendak dipersalahkan?
Adakah semua itu berpunca daripada hati yang
lemah untuk berjuang melawan kerosakan dan tidak berdaya menutup pintu
kejahatan?
Dunia ini gila!
Kalau mahu semua orang jadi baik, tutuplah
segala pintu yang mengundang kejahatan rapat-rapat. Kemudian kuncilah
ketat-ketat.
Sehari suntuk
Hamid tenggelam dalam keasyikan bekerja.
Hakcipta Terpelihara © Mohd
Hamin Mastor 1999
Nota
kaki: Terima kasih kepada Sutung Umar RS yang menelefon saya meminta pengesahan
bahawa cerpen di atas benar-benar karya asli ciptaan saya, pada tahun 1999
dahulu, semasa saya bekerja di Pasir Gudang. Beliau ingin menyiarkan cerpen di
atas di dalam Ruang Medan Kreatif Riong Berita Harian untuk siaran minggu
berikutnya. Inilah karya cerpen saya yang sulung yang mendapat tempat di dalam
media cetak utama.







